Saturday, March 19, 2011

Mencari Keredhaan Manuju Kaabah

Dalam menanti detik untuk berangkat ke Mekah dan Madinah untuk mengerjakan ibadah Umrah, hari ini, Blog Dr Maza menyiarkan artikel yang sangat menarik perhatian aku.

Ya Allah, ampunilah dosa kami dan berkatilah perjalanan kami, perbelanjaan kami dan usaha kami untuk mencari keberkatan di bumi Mekah dan Madinah.
Amin.

Kembara Menuju Kaabah
Disiarkan pada Mar 18, 2011 dalam kategori Dakwah
KEMBARA MENUJU KAABAH
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin



Ketika ini saya masih di Mekah. Seperti orang lain, walaupun entah ke berapa belas kali hadir ke tanah suci ini, namun kerinduan tidak pernah padam. Kesyahduan tetap menerpa setiap kali memijak bumi yang dilimpahi rahmah ini. Apabila menghadirkan diri ke dalam Masjidil Haram, airmata akan terus melimpahi kelopak pandangan, terkena panah kerinduan kepada keagungan Tuhan.



Mekah, inilah bumi yang paling banyak menyaksikan airmata insan merindui Tuhannya. Di sinilah Allah turunkan rahmatNya ke atas jiwa yang bersih yang datang dengan penuh keikhlasan.



Memahami Hakikat..

Sebenarnya, bumi Mekah adalah bumi ciptaan Allah seperti bumi yang lain juga. Namun, Allah telah melebihkannya dengan rahmat dan kurniaanNya terhadap bumi Mekah ini. Ya, bumi mana pun tetap bumi Allah. Di mana pun Allah tetap sama pada kebesaran dan keagunganNya. Di mana pun, hanya Allah sahaja yang kita abdikan diri, menyeru, berdoa, meminta, bertawakal dan memohon keampunan kepadaNya.

Di Mekah atau selain Mekah tetap Allah yang sama, tiada sekutu bagiNya. Di mana sahaja, hanya Dia yang menunaikan harapan dan doa. Maha suci Dia, tiada tuhan yang disembah, dipohon, diserah melainkan Allah. Seperti bulan Ramadan, hakikatnya, ia sama dengan bulan bulan-bulan Allah yang lain. Namun, Allah telah limpahkan rahmat dan kurniaanNya ke dalam bulan tersebut.



Kita tidak menyembah Ramadan, kita menyembah Allah dan mencari kurniaan Allah pada bulan Ramadan. Demikian kita tidak menyembah Mekah atau Kaabah, tetapi hadir ke sini kerana di sini dilimpahi rahmat dan kurniaanNya. Asas ini wajib difahami agar seorang hamba tidak tersalah. Jangan sampai jiwanya membesarkan tempat atau waktu tertentu, terlupa bahawa kesemua itu hendaklah dikembalikan kepada Allah, bukan kepada makhluk.

Tempat dan masa hanyalah makhluk Allah yang tiada kuasa dan upaya. Segala kurniaan dan kebesaran kembali kepada penciptanya, Allah Yang Maha Agung. Sebab itu Saidina Umar bin al-Khattab apabila hendak mencium Hajarul Aswad berkata:

“Sesungguhnya aku mengetahui, engkau hanyalah batu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Akidah

Demikian akidah yang sepatutnya dimiliki oleh sesiapa yang ingin menjejakkan kaki ke bumi suci ini agar terpelihara ketelusan tauhid. Insan tidak datang ke tempat suci kerana hendak mencari batu atau melihat bangunannya. Insan hadir ke sini kerana ingin mencari rahmat Allah yang melimpah pada tempat yang istimewa ini. Bukan tanah dan batu yang diseru, tetapi Allah yang dirayu.

Allah telah memilih Mekah ini untuk menjadi tempat beberapa ibadat khusus kepadaNya yang tiada di tempat lain; haji dan umrah. Di sinilah juga adanya Kaabah yang menjadi perlambangan ibadah dan sejarah. Kaabah yang tidak pernah lengang dari hamba-hamba Allah yang terus hadir bertawaf rukun atau sunat.

Adanya Safa dan Marwah yang sentiasa dimakmurkan, tempat manusia menunaikan sa’i yang menjadi rukun dalam haji dan umrah. Suara esakan insan di tanah suci; bacaan al-Quran, linangan airmata insan, rintihan dan doa mereka yang ikhlas adalah alunan dan pemandangan yang maha indah bagi mata dan telinga yang merindui Allah. Ia adalah penglihatan yang tidak dapat dilukiskan untuk dirakam bersamanya rasa syahdu dan rindu yang terkandung. Ia adalah dendangan yang paling lunak bagi telinga yang merindui simfoni irama yang paling bermakna.

Sebab itu, ramai orang boleh ke Mekah jika dia mempunyai harta, boleh terus tinggal di dalamnya jika dia berikan peluang, tetapi belum tentu dapat menikmati jiwa yang khusyuk dan doa yang mustajab jika jantung hatinya tidak ikhlas dan benar-benar mencari Allah. Tempat dan masa mungkin dipenuhi rahmat, tetapi insan yang berada dalamnya belum tentu mendapat kurnia jika tidak benar-benar mendambakan jiwa kepada yang Esa.

Maka, bukan semua yang berpeluang ke tempat suci dan berada di waktu yang suci mendapat kurniaan suci. Betapa ramai yang tidak berpeluang datang ke tempat suci tapi mempunyai jiwa yang suci, maka dia mendapat limpahan kurniaan Allah yang besar. Begitu juga sebaliknya. Namun, jika kita berada di tempat suci atau waktu yang suci bersama dengan jiwa yang suci, maka itu adalah nikmat yang amat besar.

Sejarah

Apabila kita melihat Kaabah, maka sejarah yang al-Quran riwayatkan datang menerjah. Teringatlah kita apa yang Allah sebutkan: (maksudnya)

“dan (ingatlah) ketika Kami jadikan rumah ini (Kaabah) tempat tumpuan bagi manusia dan tempat yang aman; dan hendaklah kamu semua jadikan Makam Ibrahim itu tempat sembahyang, dan Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail “Bersihkanlah rumahKu (Kaabah) untuk orang-orang yang bertawaf, orang-orang yang beriktikaf, dan orang-orang yang rukuk dan sujud”.(al-Baqarah: 125).

Dalam bahasa Arab yang asal, ayat ini sangat indah irama dan maknanya. Bagaimana mungkin kita tidak sebak dan mata tidak menangis apabila mengenangkan Allah telah memerintahkan kedua-dua nabinya Ibrahim dan Ismail untuk membina dan mensucikan Kaabah untuk mereka yang bertawaf, beriktikaf dan bersolat, dan diri kita yang hina ini termasuk dalam insan yang bertawaf, beriktikaf dan bersolat tersebut. Susah payah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail menunaikan tanggungjawab itu bagi memboleh insan seperti kita ini bertawaf dan bersolat.

Alangkah bersyukurnya jiwa ketika bertawaf, alangkah rindunya kepada Allah Yang Memiliki Kaabah dan kepada kedua-dua nabi yang bersusah payah. Memijak bumi Mekah sebenarnya menghubungkan kita dengan ibadah dan sejarah.

Amalan

Tiada harapan yang lebih besar ketika berada di sini dari harapan agar Allah menerima ibadah dan memakbulkan doa. Demikianlah apa yang Ibrahim dan Ismail harapkan ketika mereka membina Kaabah. (maksudnya):

Dan (ingatlah) ketika Ibrahim bersama-sama Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa: “Wahai Tuhan kami! terimalah daripada kami (amal kami); Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui” (al-Baqarah: 127).

Jika Ibrahim dan Ismail yang merupakan nabi berdoa agar amalan mereka Allah terima, maka kita jauh lebih patut berdoa agar amalan kita ini diterima. Segala belanja perjalanan dan masa yang ditumpukan tidak memberi makna jika amalan tertolak.

Maka, untuk memastikan amalan kita diterima, tauhid hendaklah benar-benar tulus tanpa syirik. Segala harapan dan doa hanya kepada Allah, tidak kepada selainNya. Kemudian, amalan yang diamalkan itu hendaklah seperti yang diajar oleh Tuhan Kaabah melalui Ibrahim dan pewarisnya Nabi Muhammad s.a.w. Bukan amalan yang ditunjukkan oleh mutawwif atau guru-guru pakej umrah dan haji sedangkan tiada contoh yang ditunjukkan oleh pewaris Ibrahim, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Ini soal penting.

Nabi Ibrahim dan anaknya ketika membina Kaabah telah berdoa: (maksudnya)

“dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara Ibadat kami” (al-Baqarah: 128).

Walaupun Ibrahim dan Ismail telah membina Kaabah, tetapi mereka tetap tiada hak dalam menentukan cara ibadah kepada kepada Allah. Tiada hak mengada-adakan ibadah apa yang tidak diwahyukan kepada mereka. Justeru, mereka memohon agar Allah menunjukkan kepada mereka cara ibadah yang Allah mahu. Ibadah hanya kepada Allah dengan cara yang Allah mahu. Bukan ibadah kepada Allah dengan cara yang kita mahu!

Bagi membolehkan manusia terus mendapat panduan dalam ibadah dan kehidupan mereka, Nabi Ibrahim yang merupakan simbol kepada pengabdian manusia meneruskan doanya: (maksudnya)

“Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu dan mengajarkan mereka al-Kitab (Al-Quran) serta hikmah (sunah atau kebijaksanaan) dan membersihkan mereka. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (al-Baqarah: 129).

Maka inilah nabi kita Muhammad s.a.w sebagai kurniaan Allah bagi doa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s. Inilah waris yang sah dalam menentukan cara ibadah. Segala amalan di hadapan Kaabah jika tidak sama seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w adalah tertolak.

Malangnya, kita lihat manusia ketika tawaf dan sa’i ada berbagai cara dan rupa. Mereka bergantung kepada guru pakej atau mutawwif mereka, sehingga lupa untuk bertanya sunnah Nabi s.a.w ketika tawaf dan sa’i. Ada yang tawaf dengan doa-doa khas bagi setiap pusingan, padahal itu tidak pernah ada dalam petunjuk Ibrahim, atau Ismail atau Muhammad a.s.

Sibuk mereka membaca doa yang ditetapkan oleh penulis buku ‘murahan’ itu sehingga melupakan doa dan hajat mereka yang sebenar kepada Allah. Ada pula yang menjerit berdoa beramai-ramai bersama ‘tekong’ yang telah dibayar. Mereka melaungkan doakan bagaikan berdemonstrasi di depan Kaabah.

Tekong memang telah mendapat upahnya, tetapi jamaah yang mengikut tidak tahu apa yang diminta, ataupun hilang tumpuan kekhusyukan jiwa untuk benar-benar berdoa, bahkan mengganggu orang lain juga. Kesemuanya tiada contoh dari ketiga-tiga nabi yang terlibat dengan Kaabah ini. Ada juga mencium apa yang tidak dicium oleh Nabi s.a.w. Kesemua itu berada di bawah sabda Nabi Muhammad s.a.w:

“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak”. (Riwayat Muslim).

Menuju ke Kaabah, menuju kepada Allah. Menuju ke redha Allah, dengan jiwa yang khusyuk dan ibadah yang tunduk kepada teladan Ibrahim, Ismail dan Muhammad a.s.

No comments:

Post a Comment