Sunday, May 30, 2010

pearl crumble

PEARL CRUMBLE

Cuti semester dah bermula...tapi macam tahun sudah jugak..kami pensyarah tak cuti...
jadi setelah dah beres semua kerja-kerja menyemak skrip jawaban pelajar dan memperoses markah pelajar...maka aku banyak ler masa samada kat rumah atau pejabat.
Balik rumah pun tak rasa tensyen sebab tak perlu fikir sangat pasal kerja pejabat...maka hidup tersangat bahagianya....
Hujung minggu aku boleh bersenang2, fikiran rasa lega...walaupun tetap sibuk dengar urusan seharian seperti masak, kemas rumah, cuci baju dan keluar hantar dan jemput anak tusyen...
Kelapangan fikiran memberi kesempatan aku mencari idea memikirkan pasak baju raya...hehe
Lalu aku google blog2 jahitan manik untuk mendapatkan idea... maka terjadilah seperti dalam gambar yang aku upload ni...
cadangnya nak jahit untuk 3 pasang lagi baju untuk raya...walllah!

Untuk jahitan pearl crumble aku menggunakan hampir 30 jenis dan warna manik dan labuci yang berlainan warna dan bentuk...guna mana yang dah ada dan tambah beberapa yang lain, g beli kat kedai ler...Orang yang jarang jahitmanik macam aku ni rasa sangat mencabar..perlu kekuatan mental dan fizikal...kalau tak kuat mental...tak siap baju ni...
Yang pasti raya tahun akan meriah dengan crumble beadings ni...yeah!

ISTERI BOLEH MINTA CERAI

Isteri Boleh Minta Cerai
Disiarkan pada Apr 11, 2010 dalam kategori Fatwa
( DIPETIK DARI BLOG MINDA TAJDID)

Soalan: Saya seorang wanita yang merasa tertipu. Atas cadangan beberapa pihak saya menerima pinangan seorang pemuda. Mereka kata dia seorang yang baik. Kami pun bernikah. Setelah bernikah baru saya tahu dia seorang penagih dadah. Sudah dua kali dia ditahan. Saya tidak sanggup lagi bersuamikan dia. Dia pernah memukul saya. Malu saya di tempat kerja.

Saya ingin minta diceraikan atau kami dipisahkan. Ramai yang beritahu saya berdosa isteri minta cerai. Keluarga dia lebih-lebihan kutuk saya, kata saya isteri yang tidak baik kerana hendak minta cerai. Allah murka kepada isteri seperti saya. Dr, kenapa saya rasa tertindas jadi perempuan dalam agama saya sendiri?

Fazlina, Kuala Terengganu.

Jawapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin:

Semoga Allah mengeluarkan puan dari kezaliman manusia. Berikut adalah jawapan saya dalam masalah yang puan kemukakan:

1. Jika benar seperti yang disebutkan, pihak yang memperkenalkan suami puan kepada puan sehingga puan menerima pinangannya itu berdosa kalau mereka tahu dia seorang penagih tetapi tidak memaklumkannya kepada puan. Mereka termasuk dalam golongan yang menipu dan melakukan penyaksian dusta. Dosa keperitan hidup yang puan tanggung akan dikenakan juga kepada mereka atas penipuan tersebut. Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang memperdaya kami (kaum muslimin) maka dia bukan dalam kalangan kami. Tipu daya dan tipu helah itu dalam neraka” (Riwayat al-Tabarani dan Ibn Hibban, dinilai sahih oleh al-Albani).
Dalam hadis ini Nabi s.a.w menyatakan mereka yang menipu orang Islam itu terkeluar dari jalan petunjuk baginda. Bahkan perbuatan itu tempatnya dalam neraka.

2. Seorang muslim hendaklah berlaku jujur apabila ditanya tentang bakal suami atau isteri yang hendak seseorang kahwini. Memberitahu perihal seseorang kepada yang ingin membuat pertimbangan untuk menerima atau menolak pinangan tidak termasuk dalam mengumpat yang diharamkan.
Cumanya, pemberitahuan itu hendaklah sekadar yang diperlukan tanpa berlebihan kepada perkara-perkara yang tiada kaitan. Dalam hadis, apabila Fatimah binti Qais bertanya pendapat Nabi s.a.w mengenai Mu’awiyah bin Abi Sufyan dan Abu Jahm yang datang meminangnya, Nabi s.a.w menjawab:
“Adapun Abu Jahm dia tidak menurunkan tongkatnya dari bahunya. Sementara Mu’awiyah seorang yang miskin tiada berharta. Kahwinilah Usamah bin Zaid” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis ini Nabi s.a.w memberitahu perihal Abu Jahm dan Mu’awiyah yang menjadikan tidak sesuai untuk diterima pinangan mereka. Tidak menurunkan tongkat dalam hadis tersebut boleh jadi bermaksud sering bermusafir atau suka memukul wanita. Kemiskinan Mu’awiyah juga dimaklumkan oleh Nabi s.a.w untuk mengelakkan masalah. Bahkan Nabi s.a.w mencadangkan calon lain yang lebih baik.

3. Rumahtangga atau perkahwinan bukanlah penjara seksaan untuk seorang lelaki atau wanita. Ia sepatutnya dibina atas cinta dan kebahagiaan, bukan kebencian dan permusuhan. Jika kebencian dan permusuhan mengambil tempat, maka tiada ertinya lagi untuk sesuatu perkahwinan itu diteruskan. Ia akan lebih mengundang dosa daripada pahala. Ia akan merosakkan jiwa dan ketenteraman perasaan.
Hidup ini bukan sekadar untuk bertarung dengan masalah sebuah rumahtangga semata sehingga melupai tujuan kehidupan yang sebenar. Untuk itu, Islam mensyariatkan talak dan beberapa pintu lain seperti khulu’ dan fasakh untuk memboleh seseorang keluar dari neraka kehidupan dan mencari ketenteraman yang baru. Islam tidak seperti sesetengah agama yang menganggap perkahwinan itu semestinya abadi dan tiada jalan keluar lagi sekalipun terpaksa hidup memamah derita.

4. Pemikiran sesetengah masyarakat Islam bahawa penceraian atau talak itu semua buruk adalah tidak benar. Talak atau cerai adakalanya disuruh oleh al-Quran, jika perkahwinan sudah tidak lagi membawa kebaikan. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik, dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat (hukum) Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan), dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan hikmat (sunnah), untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala-galanya” (Surah al-Baqarah, ayat 231). (Surah al-Baqarah, ayat 231).
Maka talak itu jika membawa kebaikan seperti mengelakkan kezaliman antara suami dan isteri atau anak-anak, maka itu adalah suatu kebaikan. Jika membawa keburukan maka keburukan atau perkara negatif dibenci oleh Allah dan RasulNya. Adapun hadis riwayat Abu Daud:
“Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah talak” merupakan sebuah hadis yang dhaif atau lemah.(lihat: al-Albani, Irwa al-Ghalil, 7/106, Beirut: al-Maktab al-Islami).
Sementara hadis:
“Kahwinilah dan jangan kamu talak, kerana talak itu menggoncang Arasy” adalah sebuah hadis yang palsu. (lihat: al-Albani, al-Silsilah al-Daifah, 1/278, Riyadh: Maktabah al-Ma’arif).
Hadis ini amat tidak lojik, bagaimana mungkin Arasy Allah bergegar dengan perceraian seseorang?! Sedangkan Nabi s.a.w sendiri pernah mentalakkan isteri baginda.

5. Wanita juga boleh memohon fasakh (bubar perkahwinan) atau khulu’ (tebus talak) jika dia merasakan suaminya sudah tidak sesuai dengannya dan dia tidak mampu lagi menunaikan tanggungjawab sebagai isteri. Isteri Thabit bin Qais pernah datang kepada Rasulullah s.a.d dan mengadu:
“Wahai RasululLah! Aku tidak mempertikaikan Thabit bin Qais di sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam. Maka RasululLah s.a.w pun bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya? Jawabnya: “Ya”. Lalu RasululLah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia” (Riwayat al-Bukhari).
Membenci kekufuran dalam Islam bermaksud penderhakaan terhadap suami yang akhirnya menyerupai kaum yang tidak beriman. Ada juga para ulama yang menafsirkan maksudnya dia terdesak menjadi kufur kerana ingin membebaskan diri dari suami. Kata al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H):
“Sesungguhnya wanita apabila membenci suaminya disebabkan akhlak atau rupa paras atau agama atau usianya yang tua atau lemah atau seumpamanya dan dia takut tidak dapat menunaikan perintah Allah dalam mentaati suami, maka harus baginya untuk khulu’ (tebus talak) dengan bayaran gantian untuk dirinya. Ini berdasarkan firman Allah: (maksudnya): “jika kamu takut keduanya (suami isteri) tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya”(Surah al-Baqarah:229) (Ibn Qudamah, al-Mughni, 10/267, Kaherah: Hijr).

6. Seorang suami yang menagih dadah boleh membahayakan isteri. Sama ada boleh membawa penyakit yang bahaya seperti aids atau mendorong dia berlaku kejam. Kes-kes seperti ini tidak sepatutnya ditangguhkan. Surat bukti sah suami terjebak dengan dadah sepatutnya cukup untuk memboleh perkahwinan dibatalkan oleh pihak kadi atau mahkamah. Ini jika mahkamah mempunyai kesedaran tentang keadilan melebihi kecenderungan mempertahankan kerenah birokrasi.

7. Sebenarnya, banyak perkara yang disebut oleh para ulama yang membolehkan perkahwinan dibatalkan atau dibubarkan (fasakh) apabila berlaku kezaliman kepada isteri. Dr Karim ‘Abd al-Karim Zaidan ketika mambahaskan tentang memisahkan (tafriq) suami dan isteri disebabkan mudarat menyebut dua jenis mudarat yang memboleh isteri menuntut untuk dia dipisahkan.
Satunya, mudarat dari segi fizikal seperti suami memukul, atau membuatkan sesuatu yang menyebabkan kecederaan. Kedua, segi jiwa atau psikologi seperti suami memakinya, atau tidak lagi mahu bersetubuh dengannya, atau menengkingnya atau enggan berbicara dengannya. Dr. Zaidan juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir:
“Bagi isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat. Ini seperti yang berlaku dalam kalangan mereka yang tidak senonoh. Di samping itu tambahan kepada dipisahkan, dia patut dihukum untuk diadabkannya. Ini seperti jika dia meliwat isteri”. Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: “Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang boleh dipisah (difasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam apa keadaan sekalipun. Samada suami sengaja atau tidak sengaja”. (Dr Zaidan, al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah 8/439. Beirut: Muassasah al-Risalah).

8. Jelas, Islam sama sekali tidak pernah menzalimi wanita. Apa yang berlaku dalam banyak keadaan adalah disebabkan oleh pengurusan sesetengah pihak tentang urusan wanita yang tidak menekan nilai-nilai keadilan, keselamatan wanita, perasaan mereka yang lemah dan seumpamanya. Janganlah disalahkan Islam, sebaliknya lihat keadilan Islam jendela nas-nas yang sahih.

9. Perkara yang terpenting dalam hal puan ini, berdoalah kepada Allah agar dibebaskan diri dari keadaan puan dan diberi gentian suami yang lebih baik dan soleh. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui tentang masa depan seseorang, pohonlah masa depan yang baik daripadaNya.

JODOH ITU KETENTUAN TUHAN..

JODOH ITU KETENTUAN TUHAN
Sumber: iLuvislam

Jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk keseberang. Kalau panjang jambatannya, jauhlah perjalanan kita. Ada orang jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda dalam doa-doa lewat solat. Allah itu Maha Mendengar. Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Yakinlah pada janji-Nya kerana kita orang yang beriman.

Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr. Right dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti. Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah. Kita juga selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah dihati kita, alangkah bahagianya orang itu. Hakikatnya, apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah, kita ditimpa pelbagai karenah. Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan.

“Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda pasti ada baik dan buruknya.”
Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh dihadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang motosikal itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta. Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda pasti ada baik dan buruknya.

Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebagai saluran yang betul untuk melepaskan syahwat tapi ramai juga orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus. Ramai orang menempah neraka sebaik melangkahkan kaki ke alam berumahtangga. Bukankah dangan Ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut bertambah? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka? Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asal impian menjadi nyata?

Jika tidak sanggup bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu bergelar ibu ayah, belajarlah dulu. Jika belum bersedia untuk bersabar dengan karenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi setelah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti segala tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan – bagi yang mengetahui rahsia-rahsianya. Berkahwinlah demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai.

“…Kekayaan yang paling kaya adalah akal, kemiskinan yang paling besar adalah jahil, keburukan yang paling hodoh adalah sesat.”

Kadangkala Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, kemana menghilangnya sinar. Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi. Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi ada imbas kembali. Hati remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi. Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada. Parut lama pastikan sembuh selagi iman terselit di dada. Kekayaan yang paling kaya adalah akal, kemiskinan yang paling besar adalah jahil, keburukan yang paling hodoh adalah sesat.
Tidak berguna adanya mata andai tidak dapat melihat, tak guna adanya hati kalau tak tahu menilai. Nilailah hati itu dengan teliti sebelum pergi mengundur diri kerana segalanya bermula dengan niat yang bertempat di hati.


NOTA ARTIKEL
Saya hanya ada dua rumusan yang boleh dibuat tentang soal hati:

1. Kita Diseru Untuk Memilih Pasangan Hidup
Firman Allah di dalam surah An-Nisa' ayat 1-4:
بِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيم
يٰأَيُّهَا النّاسُ اتَّقوا رَبَّكُمُ الَّذى خَلَقَكُم مِن نَفسٍ وٰحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنها زَوجَها وَبَثَّ مِنهُما رِجالًا كَثيرًا وَنِساءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذى تَساءَلونَ بِهِ وَالأَرحامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كانَ عَلَيكُم رَقيبًا

(1) Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
وَءاتُوا اليَتٰمىٰ أَموٰلَهُم ۖ وَلا تَتَبَدَّلُوا الخَبيثَ بِالطَّيِّبِ ۖ وَلا تَأكُلوا أَموٰلَهُم إِلىٰ أَموٰلِكُم ۚ إِنَّهُ كانَ حوبًا كَبيرًا
(2) Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.

وَإِن خِفتُم أَلّا تُقسِطوا فِى اليَتٰمىٰ فَانكِحوا ما طابَ لَكُم مِنَ النِّساءِ مَثنىٰ وَثُلٰثَ وَرُبٰعَ ۖ فَإِن خِفتُم أَلّا تَعدِلوا فَوٰحِدَةً أَو ما مَلَكَت أَيمٰنُكُم ۚ ذٰلِكَ أَدنىٰ أَلّا تَعولوا
(3) Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.
وَءاتُوا النِّساءَ صَدُقٰتِهِنَّ نِحلَةً ۚ فَإِن طِبنَ لَكُم عَن شَيءٍ مِنهُ نَفسًا فَكُلوهُ هَنيـًٔا مَريـًٔا
(4) Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.

Perintah Allah agar kita memilih jodoh masing-masing dan berkahwin demi mencari keredhaan-Nya dikuatkan lagi oleh hadis ini:

"Wanita itu dikahwini kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, kerana agamanya. Maka pilihlah agamanya..."

2. Ketentuan Tuhan
Sebuah hadis ada menyebut:
لاَ يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلاَّ دُعَاءٌ
“Tidak ada yang dapat menolak ketentuan Tuhan kecuali doa”

Usaha kita dalam mencari jodoh perlulah bersandarkan kepada iman dan diiringi dengan doa yang berpanjangan. Berdoalah banyak-banyak dengan bersungguh-sungguh kerana mengharapkan rahmat daripada Allah agar insan yang kita pilih itu dijodohkan dengan kita.
“Jodoh ketentuan di tangan Tuhan”. Itulah ungkapan yang sering kita dengari apabila berbicara tentang soal hati. Malah ada yang sudah berputus asa dan rasa muak dengan ungkapan tersebut kerana sudah sering mendengarnya setiap kali usai meluahkan rasa hati kepada seseorang. Jangan sekali-kali kita berputus asa daripada rahmat Allah sebaliknya, sandarkan lah perjalanan hidup kita kepada ketentuan Qada’ dan Qadar, iaitu takdir yang baik mahupun yang buruk. Itu adalah syarat pertama jikalau kita mahu mencari pasangan hidup, dengan tujuan kerana ingin mendapatkan keredhaan-Nya. Jika kita hanya mencari pasangan kerana terikut-ikutkan keadaan semasa di sekeliling kita, atau hanya kerana suka-suka, nescaya tujuan kita itu tidak disandarkan kepada iman sepenuhnya dan nescaya hati kita akan gundah-gulana dan bagaikan dirobek apabila pilihan di hati tidak menjadi kenyataan.

Hal yang demikian itu sebenarnya merangkumi segenap aspek dalam kehidupan seorang Muslim dengan lebih menyeluruh, bukan terhad hanya dalam soal hati. Ia adalah resepi kehidupan yang sempurna dalam kita mengejar kebahagiaan hidup yang hakiki. Di dunia dan di akhirat. Bersyukurlah dengan segala kurniaan-Nya. Hiduplah dengan penuh sederhana. Kerana itulah intipati kepada cara hidup Islam.

NOTA TAMBAHAN

Gunakan Akal & Ikut Gerak Hati (Dipetik daripada hasil perbincangan dalam forum mesra.net. Disusun oleh Che Ahmad)
Manusia hanya menggunakan 15% daripada akalnya dan 85% daripada hatinya dalam mencari rumusan atau jawapan, cuma, bagaimana Akal dan Hati itu berfungsi ianya bergantung kepada manusia itu sendiri. Adakah kita dalam keadaan tenang ketika mencari jawapan ataupun dalam keadaan resah dan gelisah menanti jawapan yang tidak pasti? Adakah si dia insan yang menjadi pilihan hati itu jodoh kita?

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Tuhan Yang Maha Esa. Tetapi bagaimana kita hendak mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Tuhan mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi, spiritual dan fizikal antara keduanya.

Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan? Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.

1) Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik.
Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2) Senang bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita.
Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3) Terima kita seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan.
Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini.
Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4) Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita.
Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan.
Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5) Percaya
Mempercayai Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung.
Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka.
Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran.Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6) Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar.
Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama.
Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan.
Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7) Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita.
Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, 'lidah sendiri lagikan tergigit, inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8) Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut.
Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita.
Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya. Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9) Kata hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Tuhan deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya.
Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu.
Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10) Mimpi
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi.
Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Tuhan memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat mimpi petunjuk. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya.
Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara. Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

NOTA: Berkenaan mimpi petunjuk – “Saya tak jumpa mana-mana hadis yang menyebut bahawa petunjuk dari istikharah akan didapati melalui mimpi. Yang disebut oleh hadith ialah melalui gerak hati. Hadith tersebut menyebut, setelah istikharah, ambillah apa yang pertama digerakkan oleh hati selepas istikharah itu. Kalau tak ada gerak hati, ulangi istikharah, dan serahkan keputusan sepenuhnya kepada Allah. Jangan pula kita ada preference dalam hati waktu melakukan istikharah, kerana hasilnya mungkin apa yang kita inginkan, bukan petunjuk dari Allah.” (rahim11)

Solat Istikharah

(sumber: Nasbunnuraini)
Dari Saad Bin Abi Waqas r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda:
“Di antara kebahagian anak Adam ialah Solat Istikharah daripada Allah Taala dalam segala urusannya.” (Hadis 146 Mastika Hadis Jilid 2)
Solat istikharah ialah solat untuk meminta perkhabaran, petunjuk dalam memilih umpamanya di antara dua pilihan. Hanya boleh beristikharah untuk benda yang HARUS sahaja. Benda yang sememangnya haram atau wajib tidak dibenarkan. Dalam hadis yang lain:
“…Tidakkan menyesal orang yang beristikharah”
Sabda Nabi SAW:
“Tidak akan kecewa bagi yang melaksanakan istikharah dan tidak akan menyesal bagi orang yang suka bermusyawarah dan tidak ada kekurangan bagi orang yang suka berhemat” (HR.Thabrani).
Kalau sudah beristikharah dan Allah dorong untuk melakukan sesuatu (cenderung kepada sesuatu; gerak hati), mestilah patuh.

Bila?
Solat Istikharah boleh dilakukan sama ada siang atau malam, terutamanya bila hati terasa tenang.

Berapa lama?
Buatlah sehingga 5 atau 7 malam. Insya-Allah diberi petunjuk (tidak semestinya melalui mimpi).
Istikharah digalakkan berdasarkan hadis Jabir yang menyebut:
“Rasulullah saw mengajar kami beristikharah pada semua perkara sebagaimana baginda mengajar satu surah daripada Al-Quran. Kemudian hendaklah ia berdoa dengan membaca:
Wahai tuhanku, aku memohon pilihan dengan ilmuMu dan memohon takdirMu dengan kekuasaanMu. Dan aku memohon daripada kelebihanMu yang amat besar. Sesungguhnya Engkau sahaja mampu segalanya dan aku tidak mampu dan Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui. Engkau mengetahui segala perkara ghaib.
Wahai tuhanku sekiranya engkau ketahui bahawa perkara ini adalah yang terbaik buatku dalam perkara agamaku, didalam kehidupanku serta kehidupanku selanjutnya, maka takdirkanlah perkara itu untuk ku serta permudahkannya untuk ku dan berkatilah aku padanya. Sekiranya Engkau ketahui bahawa perkara ini adalah bukan yang terbaik buatku dalam perkara agamaku, di dalam kehidupan ku serta kehidupan ku selanjutnya, maka jauhilah daripadanya serta takdirkanlah yang terbaik buatku serta berkatilah aku. Berikanlah kebaikan di mana saja aku berada dan jadikanlah aku ini orang yang redha atas ketentuanMu.”
(Hadis 147 Mastika Hadis Jilid 2)

Wallahu’alam. Selamat mencari jodoh.
( Botolkicap: Saya sekadar berkongsi maklumat yang saya perolehi)

Thursday, May 13, 2010

Puding eskrim


PUDING AISKRIM

1 packet agar2 serbuk (10gram)
500ml air
300ml susu cair
100ml air buah dari fruit cocktail dlm tin
200ml ice krim vanilla
1 tin fruit cocktail
2 biji telur
5 sudu makan kastard
2 keping gula melaka
gula (jika suka)
secubit garam
1 kotak jelly kristal nona perasa strawberi ( atau ikut suka)
Cara:
1. masak agar2 bersama air,susu cair dan gula melaka
2. bancuh kastard bersama air buah dan telur dan masuk ke dalam (1)
3. kecilkan api danhendaklah dikacau selalu, kemudian masukkan aiskrim.
4. kacau biar aiskrim hancur dan sebati dengan adunan
5. tuang ke dalam adunan yang telah ditabur dengan buah-buahan campuran.
5. bila hampir sejuk, tabur lagi lebihan buah-buahan di atasnya dan tuang jeli kristal yang telah dibancuh mengikut arahan di kotak nyer...


cubalah buat, sedap tau...

resepi ni zuriati yang bagi..dia kan rajin masak dan selalu syer resepinya kat kitorang..

Ayam penyet


Resepi Ayam Penyet 2
Posted By kak ina kl Rabu, Mac 31, 2010

Resepi ke 2 ni akak ambil dari Majalah Saji bulan April...ikutkan resepi tak yah buat sup...tapi mana boleh..kat rumah akak ni kalau tak ada masakan berkuah..kang ada yag tercekik lah pulak..terutama si imran.Lumuran ayam goreng akak ambil dari Ijan yang duk jauh di rantau. Nampak cam banyak dan leceh nak buatkan..taklah..senang ajer nak membuatnya..
Bahan-bahan
1 ekor ayam sederhana besar
(potong 4)
600ml air
2 helai daun salam
Minyak
1 kiub ayam
Bahan rebusan
4 ulas bawang putih
1/2 sudu kecil ketumbar
3 cm halia
3cm lengkuas
1 1/2 kecil garam
Cara menyediakan Sup
1. Bahan rebusan di tumbuk lumat dan lumurkan pada ayam.
Masukkan ayam ke dalam periuk.
2. Masukkan sekali daun salam dan tuangkan air. Renehkan sehingga ayam empuk.
3. Apabila ayam empuk, angkat dan toskan ayam.
Untuk menyediakan ayam goreng(dak Ijan punya resepi)
Toskan ayam.(simpan air rebusan ayam untuk buat sup)-kite guna air nie jgk utk masak nasik
½ sudu besar Jintan Manis – goreng tanpa minyak hingga naik bau
½ sudu besar Jintan Putih – goreng tanpa minyak hingga naik bau
3 sudu besar Biji Ketumbar – goreng tanpa minyak hingga naik bau
1 sudu besar Serbuk Kari Ayam
1 sudu besar Serbuk Kunyit
½ sudu besar Serbuk Lada Putih
3 ulas Bawang putih
1cm Halia
Sedikit Air
1 sudu kecil Garam
Minyak masak untuk menggoreng. Cara-cara
Masukkan kesemua bahan (kecuali minyak masak) dalam pengisar, kisar hingga halus.
Lumur bahan yang telah dikisar pada ayam dan perap semalaman.-perap lama2 cenggini best.
(Simpan bahan kisar yang berlebihan untuk goreng tempe dan tahu.)
Setelah perap semalaman, golek-golekkann pada tepung beras.
Panaskan minyak dan goreng hingga garing.

Bahan sambal
3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
6 tangkai cili merah keiting
1/2 biji tomato
1/2 sudu kecil garam
1 sudu besar gula kabung
5 tangkai cili padi
1 bji limau-ambil jus-seeloknya limau purut
1 sudu besar belacan
Cara menyediakan sambal
1. Panaskan sedikit minyak, goreng cili, bawang dan tomato.
2. Setelah semuanya hampir garing, masukkan belacan, Toskan semua bahaan gorengan dan tumbuk lumat bersama gula dan garam.
3. Akhir sekali perahkan jus limau purut/kasturi/nipis

akak guna alat ni..lupa pulak nama dia..kalau malas guna ajer blender kering

tengahari cuma ada tempe dengan ayam..
Untuk Nasi
1 labu bawang besar-hiris halus
2 biji bawang putih-hiris
3 cawan beras basmati-rendam 30 minit dan toskan
41/2 cawan air rebusan ayam
1 batang kayu manis*
2 cengkih*
2 pelaga*
2 bunga lawang*
2 helai daun pandan
sedikit butter/minyak/marjerin
Cara menyediakannya
1. Panaskan minyak. Tumis rempah tumis (*) dan masukkan bawang besar dan bawang putih.
2. Masukkan daun pandan dan beras.
3. Masukkan ke dalam periuk letrik bersama air rebusan ayam dan masaklah seperti biasa.

Untuk Sup
Masukkan garam secukup rasa pada air rebusan ayam.-kite tambah ayu manis, bunga lawang, pelaga dan ketumbar (boleh masukkan terus sup bunjut kalo ade).
Panaskan sebelum dihidangkan. Tabur hirisan daun sup dan daun bawang pada sup semasa disajikan.
Untuk Tempe dan Tauhu Goreng.
2 keping tahu – potong dadu
1 paket tempe – potong nipis
Sedikit tepung beras.
Minyak masak untuk menggoreng. Cara-cara
Golek-golekkan tahu dan tempe atas tepung beras dan pada lebihan bahan lumuran ayam.
Goreng hingga garing.

malam baru lengkap sebab suruh anak beli..tapi tempe tak dah habislah pulak.Cara hidangan-
Hidangkan ayam penyet,tahu, tempe, sambal dan sup bersama ulam seperti daun salad, tomato dan timun dengan nasi.